Followers

Saturday, 1 June 2024

Tips Untuk Mengelakkan Scammer

 

1. Jangan Dedahkan Maklumat Peribadi Anda

Cara untuk mengelakkan scammer yang paling asas dan mudah adalah dengan tidak mendedahkan maklumat peribadi anda di internet. Ini termasuk di laman sosial, forum, ruangan komen, aplikasi perbualan (chat messenger) dan lain-lain.

Antara maklumat peribadi yang tidak seharusnya dikongsikan adalah nama penuh, alamat kediaman, nombor kad pengenalan, nombor telefon atau plat kenderaan dan lain-lain. Ini membolehkan penipu mencuri identiti anda dan menyamar untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral seperti memohon pinjaman atau sebarang aktiviti jenayah.

Sekiranya anda adalah seorang peniaga online dan harus berkongsi nombor telefon untuk tujuan perniagaan, sila gunakan nombor telefon yang berasingan. Dan untuk tujuan keselamatan, sila pastikan nombor tersebut didaftakan menggunakan nama perniagaan anda berbanding nama peribadi anda.

Selain itu, jika anda seorang yang aktif di internet, sila elakkan dari mendaftar di laman web menggunakan maklumat peribadi anda. Sila gunakan email yang berasingan dari email utama anda dan letakkan maklumat peribadi anda sekurang yang mungkin.


2. Gunakan Aplikasi Untuk Mengesan Scammer

Walaupun kewujudan internet sedikit sebanyak telah menyumbang kepada peningkatan kes penipuan atau scam, namun, ia juga dapat membantu anda. Salah satu cara untuk mengelakkan scammer dengan mudah dan berkesan adalah dengan menggunakan aplikasi telefon.

Terdapat pelbagai aplikasi yang dapat membantu anda mengesan scammer secara real-time. Di mana anda akan mendapat butiran mengenai pemanggil setiap kali anda menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Butiran pemanggil ini adalah berdasarkan laporan yang dibuat oleh jutaan pengguna melalui aplikasi berkenaan. Anda juga boleh membuat laporan dan menyumbang kepada komuniti untuk membantu pengguna lain jika anda pernah dihubungi oleh scammer sebelum ini.

Antara aplikasi yang paling popular untuk mengesan scammer adalah Truecaller, Whoscall, CallApp, Eyecon, Hiya, dan CallerID. Selain itu, anda juga boleh menggunakan aplikasi Check Scammers CCID yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia.


3. Jangan Klik Pautan Pada Email Yang Mencurigakan

Salah satu cara tertua dan paling klasik yang digunakan oleh scammer untuk menipu adalah melalui pautan email. Di mana scammer menghantar email menggunakan subjek yang boleh menarik perhatian mangsa dengan mudah.

Sebagai contoh, menyatakan mangsa telah memenangi hadiah, atau menyamar sebagai pegawai kerajaan, agen kutipan hutang dan lain-lain. Mangsa yang teruja dengan hadiah yang dimenangi atau yang ditakutkan dengan tindakan mahkamah kemudiannya menghubungi penipu terbabit.

Dan tanpa sedar mangsa mendedahkan butiran peribadi seperti maklumat perbankan, PIN, kad kredit dan lain-lain kepada scammer sehingga mengakibatkan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, pautan di email juga boleh menghantar mangsa ke laman web palsu yang menyerupai laman web rasmi seperti Facebook atau perbankan atas talian seperti Maybank2u dan sebagainya. Mangsa kemudiannya tanpa sedar memasukkan butiran di laman web palsu tersebut dan seterusnya sampai ke tangan scammer terbabit.

Teknik popular ini dikenali sebagai teknik phishing. Ia merupakan teknik yang efisyen, mudah untuk dilaksanakan serta memerlukan kos yang sangat rendah.

Oleh itu, anda dinasihatkan supaya sentiasa memastikan anda berada di laman web yang sebenar dengan melihat nama domain di bar URL sebelum anda log masuk.

4. Semak Review Sebelum Membeli Secara Online

Dengan adanya platfom membeli-belah atas talian seperti Shopee, Lazada dan lain-lain amat membantu jika anda mempunyai gaya hidup yang sibuk. Pelbagai barangan keperluan boleh dibeli dengan mudah pada bila-bila masa tanpa perlu keluar dari rumah.

Namun, platform ini juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran untuk para penipu mencari mangsa. Sebagai contoh, kerap terjadi barangan yang dibeli dan diterima ternyata berlainan dari yang diiklankan. Atau penjual menghilangkan diri selepas bayaran dibuat.

Untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku, anda dinasihatkan supaya menyemak review terlebih dahulu. Dengan membuat perbandingan rating dan semakan review, memudahkan anda untuk membuat pilihan yang lebih bijak berdasarkan pengalaman pembeli terdahulu.

Anda juga dapat membantu komuniti dengan meninggalkan maklum balas mengenai pengalaman pembelian anda. Ini dapat membantu pembeli lain untuk berurusan dengan penjual yang lebih baik dan sesuai dan mengelakkan mereka dari ditipu.

Namun harus diingat bahawa bukan semua review itu adalah 100% asli dan ditulis oleh pembeli yang sebenar. Sesetengah review itu berkemungkinan adalah palsu dan ditulis oleh penjual terbabit menggunakan nama yang berlainan untuk menaikkan rating mereka.

5. Dapatkan Maklumat Sebanyak Mungkin

Sebelum anda membuat pembayaran, dapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai penjual. Kerana seorang penjual yang baik akan bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat perniagaan dari pelanggan mereka.

Ketahui mengenai reputasi penjual anda sebelum ini dengan lebih lanjut melalui media sosial atau platform yang lain. Dapatkan maklumat seperti nama dan nombor pendaftaran syarikat atau perniagaan, alamat dan nombor telefon pejabat, serta maklumat penting yang lain.

Cuba elakkan dari membuat pembayaran ke atas nama individu berbanding nama syarikat atau perniagaan. Dan jika anda mendapati sesuatu yang mencurigakan, hentikan dari membuat bayaran serta-merta!

Selepas anda membuat bayaran, sila simpan resit dan juga tangkapan skrin perbualan anda dengan penjual sepanjang urusan sebagai langkah berjaga-jaga. Dan jangan lupa untuk menyemak status penghantaran barangan pembelian anda dari masa ke semasa.


6. Semak Maklumat Mengenai Penjual Secara Online

Selain daripada cara-cara di atas, anda juga boleh menyemak terus secara online untuk mengetahui sama ada penjual yang anda berurusan pernah memiliki sejarah atau tidak. Berikut adalah 3 laman web yang anda boleh gunakan untuk membuat semakan.


1. ccid.rmp.gov.my

ccid.rmp.gov.my merupakan laman web rasmi yang dibangunkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia. Ia bertujuan untuk memberi akses mudah kepada rakyat sebagai cara untuk mengelakkan scammer.

Melalui laman web ini, anda boleh menyemak sama ada nombor akaun bank atau nombor telefon penjual pernah wujud di dalam pengkalan data pihak polis. Anda juga akan dimaklumkan sama ada laporan polis pernah dibuat ke atas carian berkenaan atau tidak.

2. scam.my

scam.my pula adalah laman web pihak ketiga yang turut sama menyediakan perkhidmatan membuat semakan senarai scammer. Selain dari nombor telefon dan akaun bank, laman web ini juga membenarkan carian dibuat menggunakan nama penjual.

3. scamadviser.com

Tidak seperti laman web sebelum ini, scamadviser.com pula hanya membenarkan semakan dibuat menggunakan URL sahaja. Ini sangat berguna jika anda ingin membuat semakan ke atas penjual yang memiliki laman web e-commerce sendiri.

Dengan memasukkan URL, anda akan mendapat pelbagai maklumat berkaitan laman web tersebut termasuk Markah kepercayaan (Trustscore), Indeks Risiko (Risk Index), Analisis terperinci, review pengguna dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Ini 10 Kunci Rahsia Untuk Berjaya, Cuba Buat Mulai Hari Ini – Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah

  Terdapat banyak  tips  orang berjaya yang mudah diperolehi, digunakan sebagai panduan hidup sama ada ia diterbitkan melalui buku atau perk...